Saturday 28 July 2012

Kemunculan Agama dan Ajaran Utama Dunia

Kemunculan Agama dan Ajaran Utama Dunia
Agama merupakan keperluan utama dalam pembentukan dan peningkatan tamadun. Secara umumnya, agama ialah suatu kepercayaan atau ajaran yang dianut oleh seseorang. Agama merupakan pedoman untuk membimbing manusia ke arah kehidupan yang sempurna. Justeru, lahirlah agama dan ajaran untuk memenuhi keperluan manusia. Di tamadun awal China, lahirlah Confucianisme dan Taoisme.

Confucianisme
Ajaran ini diasaskan oleh Confucius yang lahir pada sekitar tahun 551 S.M. di neger Lu (di Shantung). Beliau pernah menjadi pegawai kerajaan negeri Lu. Namun demikian, beliau telah meletakkan jawatan dan telah mengembara untuk menyebarkan ideanya kepada penduduk China. Masyarakat China telah menjadikan ajaran ini sebagai kepercayaan dan tokoh Confucius telah disembah sebagai salah satu dewa penting dalam masyarakat China. Secara umumnya ajaran ini menekankan prinsip moral yang tinggi seperti perikemanusiaan (ren), kesusilaan (li ), dan ketaatan kepada ibu bapa (xiao). Untuk mencapai ketinggian moral ini, seseorang itu haruslah mendapat pendidikan. Prinsip moral ini juga harus dipertegaskan kepada semua lapisan masyarakat.

Taoisme
Salah satu lagi ajaran yang penting dalam tamadun China ialah Taoisme. Ajaran ini muncul agak lewat berbanding dengan ajaran Confucius. Pengasas kepada ajaran ini ialah Lao Tze. Beliau lahir di negeri Chu pada sekitar tahun 604 S.M.. Beliau juga pernah bekerja di negeri Chou. Seperti Confucius, Lao Tze juga telah mengembara ke luar menyebarkan pengaruhnya. Beliau telah menghasilkan buku yang bertajuk Tao Te Ching yang mengandungi idea falsafah Taoisme. Taoisme ini pada asalnya berbentuk falsafah tetapi kemudiannya menjadi ajaran berbentuk agama. Dasar ajaran ini lebih menumpukan konsep Tao yang bermaksud jalan. Setiap tindakan akan ditentukan oleh Tao. Oleh sebab itu manusia tidak harus bertindak terhadap apa-apa yang berlaku. Keadaan ini dirujuk oleh Tao sebagai tidak mengambil sebarang tindakan atau wu-wei. Jika manusia bertindak, maka, perkara ini adalah bertentangan dengan prinsip wu-wei dan akan merosakkan dunia. Oleh sebab itu Lao Tze tidak menyetujui bahawa manusia boleh mengubah sesuatu ke arah kebaikan.

No comments:

Post a Comment